Demonstrasi Jalanan Bukan Ajaran Islam


Demonstrasi mengganggu keharmonian awam. Pihak berkuasa perlu bertindak.

Baru-baru ini, sekali lagi adegan dan slogan demonstrasi ke atas pemerintah dilaungkan. Diberi nama pula sebagai sarana amar makruf nahi mungkar dan jihad. Maka, seruan kebencian dan protes ke atas pemimpin pun meluap-luap.

Sangat menyedihkan adalah apabila pelbagai aksi dan adegan demonstrasi ini kian menjadi fenomena masyarakat dalam negara kita.

Persoalannya, adakah demonstrasi merupakan salah satu sarana anjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama? Dalam tulisan yang lalu, penulis telah bentangkan kaedah-kaedah yang syar’i dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemerintah, iaitu dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang dengannya, memperbanyakkan kesabaran, dan dengan tidak mengaibkan serta merendah-rendahkan kedudukannya.

Ringkasnya, begitulah kaedah-kaedah yang syar’i dalam bermuamalah terhadap pemerintah sama ada yang adil mahupun yang zalim, selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syi’ar solat.

Dalam masa yang sama, amalan syar’i ini menunjukkan betapa Islam itu adalah agama yang mengajak kepada perdamaian, membenci kekacauan, teratur, dan penuh ketenangan. Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemimpin sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika ruh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.

Amalan demonstrasi memprotes pemimpin adalah syi’ar orang-orang kafir yang kemudiannya diikuti oleh golongan pemberontak (khawarij) di era awal sejarah umat Islam. Dengan itu, ianya bukanlah amalan anjuran Islam, bahkan bertentangan pula dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Amalan demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bid’ah) dalam agama berkaitan hal mu’amalah terhadap pemerintah. Dari itu, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam syi’ar kaum kuffar, kaum jahiliyyah, dan kelompok khawarij (pemberontak), kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan dengan sabdanya:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

“Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298, no. 6775)

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum dengan katanya:

من راى من اميره شيئا فكرهه فليصبر فانه ليس احد يفارق الجماعة شبرا فيموت الا مات ميتة جاهلية

“Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan amirnya (pemerintah), maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/51, no. 6610)

Ini adalah kerana orang-orang jahiliyyah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten, tiada pegangan agama yang utuh dan menyatukan, hidup mereka dikenali berpecah-belah serta saling jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh al-Khaththabi dalam al-Uzlah, Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, dan Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu’ Fatawanya.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:

فَإِنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَكُونُوا يَجْعَلُونَ عَلَيْهِمْ أَئِمَّةً؛ بَلْ كُلُّ طَائِفَةٍ تُغَالِبُ الْأُخْرَى

“Bahawasanya orang-orang jahiliyyah tidak memiliki pemimpin (yang disepakati) yang mentadbir urusan mereka, sebaliknya setiap kelompok saling bermusuhan (menjatuhkan) di antara satu sama lain.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/487 - Daar al-Wafaa’)

Pemerintah yang dimaksudkan hadis ini adalah merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum dan tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam (3/258 - Maktabah Syamilah). Persoalan ini telah penulis bahaskan dalam tulisan yang lain dengan judul “Memahami Negara dan Pemimpin Umat Islam” dan “Bagaimana Ahlus Sunnah Menataati Pemerintah.”

Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya termasuk juga ke dalam ciri-ciri pemberontakan sebagaimana dijelaskan oleh salah seorang ulama tertinggi Anggota Majlis Fatwa ‘Arab Saudi, Syaikh Soleh as-Sadlan hafizahullah dengan katanya:

فالبعض من الإخوان قد يفعل هذا بحسن نية معتقدا أن الخروج إنما يكون بالسلاح فقط، والحقيقة أن الخروج لا يقتصر على الخروج بقوة السلاح، أو التمرد بالأساليب المعروفة فقط، بل إن الخروج بالكلمة أشد من الخروج بالسلاح؛ لأن الخروج بالسلاح والعنف لا يُرَبِّيه إلا الكلمة فنقول للأخوة الذين يأخذهم الحماس، ونظن منهم الصلاح إن شاء الله تعالى عليهم أن يتريثوا، وأن نقول لهم رويدا فإن صلفكم وشدتكم تربي شيئا في القلوب، تربي القلوب الطرية التي لا تعرف إلا الاندفاع، كما أنها تفتح أمام أصحاب الأغراض أبوابا ليتكلموا وليقولوا ما في أنفسهم إن حقا وإن باطلا. ولا شك أن الخروج بالكلمة واستغلال الأقلام بأي أسلوب كان أو استغلال الشريط أو المحاضرات والندوات في تحميس الناس على غير وجه شرعي أعتقد أن هذا أساس الخروج بالسلاح، وأحذر من ذلك أشد التحذير، وأقول لهؤلاء: عليكم بالنظر إلى النتائج وإلى من سبقهم في هذا المجال، لينظروا إلى الفتن التي تعيشها بعض المجتمعات الإسلامية ما سببها وما الخطوة التي أوصلتهم إلى ما هم فيه، فإذا عرفنا ذلك ندرك أن الخروج بالكلمة واستغلال وسائل الإعلام والاتصال للتنفير والتحميس والتشديد يُرَبِّي الفتنة في القلوب

“Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut (pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang dimaksudkan dengan al-khuruj (sifat kepembangkangan dan pemberontakan) itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan semata-mata dengan senjata dan tindakan kekerasan, tetapi termasuk juga dengan lisan (kata-kata). Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan (printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami menganggap mereka berniat baik - insyaAllah. Namun, hendaklah mereka tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstream mereka tersebut hanya akan menumbuhkan sesuatu yang negatif dalam hati-hati mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (dari nilai ilmu) dan hanya mengenal sentimen kemarahan (emosional). Tindakan mereka itu juga hanya akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak dengan cara yang batil.

Pemberontakan dengan kata-kata seperti melalui tulisan, ceramah, seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat membenci pemerintah adalah termasuk ke dalamnya. Aku memberi peringatan kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa hasil yang diperolehi dari setiap tindakan tesebut, dan fikirlah faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam. Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi masyarakat adalah punca kepada pelbagai jenis fitnah (huru-hara).” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, m/s. 306-307. Kitab ini disemak dan diperakui oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr)

Bahkan sebelumnya Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) lebih tegas lagi. Beliau menyatakan:

ويؤدب من يثبط عنه" فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام

“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah)

Di antara kesan-kesan buruk amalan demonstrasi dan protes ini adalah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat, menjatuhkan kredibiliti sesebuah pemerintahan yang mengakibatkan kestabilan politik terganggu, pergaduhan, kerosakan harta benda, kesesakan lalu-lintas dan beberapa lagi yang lainnya. Sedangkan telah jelas dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, perkara-perkara seperti ini semua adalah amat dibenci oleh agama.

Benarlah kata Imam Abu ‘Abdillah al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H):

والذي عليه الأكثر من العلماء أن الصبر على طاعة الإمام الجائر أولى من الخروج عليه، لأن في منازعته والخروج عليه استبدال الأمن بالخوف، وإراقة الدماء، وانطلاق أيدي السفهاء، وشن الغارات على المسلمين، والفساد في الأرض.

“Apa yang dipegang oleh kebanyakan dari para ulama’ bahawasanya sabar dalam mentaati pemerintah yang zalim lebih utama dari keluar memberontak kepada mereka, kerana memisahkan diri dan keluar memberontak itu akan menukarkan keamanan kepada ketakutan, dan tertumpahnya darah yang disebabkan oleh tangan-tangan orang yang bodoh dan hanya akan menyebarkan kefasadan (keburukan) dalam kalangan umat Islam dan di atas muka bumi.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/109)

Sebahagian pihak dari kalangan aktivis dan pembela aksi demonstrasi ada yang beralasan dengan pelbagai syubhat yang mengelirukan untuk menyokong tindakan mereka yang telah jelas bertentangan dengan agama. Antaranya, mereka beralasan bahawa demonstrasi mereka dilaksanakan secara aman. Sedangkan, Islam sedikitpun tidak pernah mengajarkan kepada umatnya untuk mengadakan demonstrasi protes sama sekali sama ada yang aman atau kekerasan.

Alasan kedua mereka adalah mengatasnamakan aksi demonstrasi dengan nama jihad dan dakwah. Secara ringkasnya, ini juga sangat bertentangan dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

“Sesungguhnya jihad yang besar adalah perkataan yang adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim (diktator).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Hadis ini menyatakan sekiranya kita mahu mendakwahi pemimpin, maka hendaklah kita melakukannya dengan cara pergi ke sisi pemimpin tersebut dan memberi penjelasan dengan terperinci. Bukan dengan cara berdemonstrasi, mencerca, dan mencanang keburukan pemimpin. Seharusnya kita faham bahawa yang dinamakan dakwah itu adalah mengajak kepada kebaikan dengan cara yang baik juga.

Selain itu, mereka turut berhujah menggunakan kisah Saidina Umar dan Hamzah berdemonstrasi bersama-sama Rasulullah ke atas kaum kafir Quraisy bagi tujuan menzahirkan keberanian. Kisah ini sebenarnya adalah kisah yang batil dan lemah sekali sehingga tidak boleh dijadikan sebagai sandaran hujah (atau hukum) sebagaimana dijelaskan oleh para ulama hadis generasi awal dan kontemporari. [1]

Sebaliknya apa yang jelas tampak kepada kita adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya (ridhwanullahim ajma’in) dahulu menghadapi karenah musuh yang jauh lebih dahsyat lagi. Bukan sekadar pemerintah yang dianggap zalim dan menindas. Tetapi juga kaum yang jauh lebih jahat dan keji, terutamanya dari kalangan Yahudi dan Nashara. Sama ada ketika beliau berada dalam keadaan lemah mahupun kuat. Sama ada ketika fasa Mekah mahupun Madinah. Begitu juga ketika di zaman khalifah yang empat. Sedikitpun tidak kedengaran mereka mengajak dan mengumpulkan masyarakat agar keluar berdemonstrasi. Begitu juga dengan ketika zaman kehebatan para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah seperti Hasan al-Bashri, Sufyan ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah, asy-Syafi’i, Ahmad B. Hanbal dan selainnya. Tidak pernah mereka mengajak umat Islam supaya keluar berdemonstrasi menunjuk perasaan dalam menghadapi satu-satu isu kemasyarakatan atau pemerintahan.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam perkara ini ada memberikan suatu kaedah penting dalam menimbang maslahah dan mafsadah. Kata beliau:

فكل أمر يكون المقتضي لفعله على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم موجودا لو كان مصلحة ولم يفعل يعلم أنه لبس بمصلحة

“Setiap pekara yang faktor perlaksanaannya ada pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang secara zahirnya tampak membawa maslahah tetapi tidak dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka jelaslah bahawa perkara tersebut bukanlah termasuk maslahah.” (Ibnu Taimiyyah, Iqtidha’ ash-Shiraatal Mustaqiim, 1/279 – Maktabah Syamilah)

Kemudiannya, mereka (para aktivis demonstrasi) juga berhujjah dengan tindakan ummul mukminun ‘Aisyah, sahabat Talhah dan Zubair al-Awwam radhiyallahu anhum dalam perang Jamal berhadapan dengan kepimpinan Ali radhiyallahu ‘anhu, serta tindakan Mu’awiyah menyelisihi ‘Ali dalam urusan tahkim. Sedangkan apa yang perlu kita fahami adalah prinsip ahlus sunnah wal jama’ah dalam menghadapi pertikaian dalam kalangan sahabat adalah tawaqquf dan tidak membenarkan perselisihan mereka serta tidak berhujah untuk mengikuti kesalahan mereka. Apatah lagi kesalahan tersebut telah diingkari oleh majoriti sahabat yang lain dan diri mereka sendiri kemudiannya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H):

مَسِيْرَهَا يَوْمَ الجَمَلِ، فَإِنَّهَا نَدِمَتْ نَدَامَةً كُلِّيَّةً، وَتَابَتْ مِنْ ذَلِكَ، عَلَى أَنَّهَا مَا فَعَلَتْ ذَلِكَ إِلاَّ مُتَأَوِّلَةً، قَاصِدَةً لِلْخَيْرِ، كَمَا اجْتَهَدَ طَلْحَةُ بنُ عُبَيْدِ اللهِ، وَالزُّبَيْرُ بنُ العَوَّامِ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الكِبَارِ - رَضِيَ اللهُ عَنِ الجَمِيْعِ

“Aisyah telah mengakui kesalahannya keluar (melakukan perjalanan) sehingga tercetusnya perang Jamal dan beliau sangat menyesali tindakannya tersebut. Beliau bertaubat dari perbuatannya yang telah lalu yang asal mulanya berniat mencari kebaikan sebagaimana ijtihad Thalhah B. ‘Abdullah dan az-Zubair al-‘Awwam serta para sahabat lainnya.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 2/193)

Malah jauh lebih awal dari itu, apa yang didakwa oleh para aktivis demonstrasi pada hari ini telah pun dinafikan oleh Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahullah (Wafat: 456H) dengan katanya:

وأما أم المؤمنين والزبير وطلحة رضي الله عنهم ومن كان معهم فما أبطلوا قط إمامة علي ولا طعنوا فيها ولا ذكروا فيه جرحة تحطه عن الإمامة ولا أحدثوا إمامة أخرى ولا جددوا بيعة لغيره هذا ما لا يقدر أن يدعيه أحد بوجه من الوجوه بل يقطع كل ذي علم على أن كل لك لم يكن فإذ لا شك في كل هذا فقد صح صحة ضرورية لا إشكال فيها أنهم لم يمضوا إلى البصرة لحرب علي ولا خلافا عليه ولا نقضا لبيعته

فصح أنهم إنما نهضوا إلى البصرة لسد الفتق الحادث في الإسلام من قتل أمير المؤمنين عثمان رضي الله عنه

“Manakala pemergian Ummul Mukminin (‘Aisyah), az-Zubair, dan Thalhah radhiyallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Bashrah), mereka sedikitpun tidak bertujuan untuk membatalkan kekhalifahan ‘Ali, mereka sedikitpun tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak memperkatakan sebarang kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah yang baru yang lain dan mereka tidak menukar (memperbaharui) bai’ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah suatu yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun dengan apa cara sekalipun. Kebenaran sebenar yang dikehendaki yang tidak dipertikaikan padanya adalah mereka tidak pergi ke Bashrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah (ketaatan) daripadanya...

Maka yang sebenarnya, mereka berangkat ke Basrah tidak lain adalah untuk menyekat (membendung) dari terjadinya perpecahan dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan Amirul Mukminin Utsman radhiyallahu ‘anhu.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/238 - Daar al-Jil)

Beliau (Ibnu Hazm) turut menjelaskan berkenaan isu perselisihan Mu’awiyah dengan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma dengan katanya:

ولم ينكر معاوية قط فضل علي وإستحقاقه الخلافة لكن اجتهاده أداه إلى أن رأى تقديم أخذ القود من قتلة عثمان رضي الله عنه على البيعة ورأى نفسه أحق بطلب دم عثمان

“Dan Muawiyah sedikit pun tidak mengingkari keutamaan dan hak ‘Ali untuk menjadi khalifah. Namun pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pencetus api fitnah dari kalangan para pembunuh ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu berbanding urusan bai’ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya adalah yang paling berhak untuk menuntut darah Utsman.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/240-241 - Daar al-Jil)

Satu perkara penting untuk diketahui berkenaan fitnah yang mengakibatkan perselisihan di kalangan mereka (sahabat) ini adalah kerana wujudnya pihak ketiga (iaitu kelompok yang sama yang terlibat dalam pembunuhan ‘Utsman) yang bertindak sebagai pencetus api fitnah yang melaga-lagakan keduanya. Pertembungan yang berlaku ini tercetus tanpa sebarang niat buruk dan tanpa disengajakan, yang asalnya niat mereka semua adalah perdamaian dalam mengahadapi fitnah perpecahan (dalam kalangan masyarakat) ekoran peristiwa pembunuhan Saidina ‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Bahkan bukan tujuan mereka sama sekali untuk berselisih dan bertelingkah. Kedua-dua mereka sendiri sama sekali tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku ketika itu. Inilah yang disebutkan oleh para ulama dan ahli sejarah yang adil dari kalangan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.[2]

Akhir sekali, ada juga dari kalangan aktivis demonstrasi ini yang menyamakan tindakan mereka seperti perhimpunan umat Islam pada setiap hari Jumaat dan perhimpunan haji di Baitullah dengan tujuan menzahirkan rasa penghambaan kepada Allah. Analogi mereka ini ternyata begitu batil dan sangat menyimpang dari kebenaran kerana mana mungkin sebuah perhimpunan ibadah yang disyariatkan oleh Allah hendak disamakan dengan amalan demonstrasi yang jelas bertentangan dengan garis-garis Islam?

Maka, hendaklah kita kembali kepada Islam yang jelas sumber-sumber dalilnya daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang difahami melalui perkataan para ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Jauhilah sikap dan tindakan yang dibina dengan teras emosi dan hawa nafsu. Inilah di antara kaedah-kaedah penting yang perlu sama-sama kita ambil dalam menyelesaikan pelbagai kemelut fitnah yang melanda umat Islam akhir-akhir ini. Bukan sahaja dalam persoalan demonstrasi, tetapi juga dalam pelbagai isu lainnya. Wallahu a’lam.

___________@@@__________

Catatan Kaki:

[1] Kisah yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut:

عن ابن عباس قال: سألت عمر: لاي شئ سميت (الفاروق) ؟ قال: أسلم حمزة قبلي بثلاثة أيام ، ثم شرح الله صدري للاسلام فقلت: الله لا إله إلا هو له الاسماء الحسنى، فما في الارض نسمة أحب إلي من نسمة رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فقلت: أين رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قالت أختي: هو في دار الارقم بن أبي الارقم عند الصفا، فأتيت الدار وحمزة في أصحابه جلوس في الدار ورسول الله صلى الله عليه وسلم في البيت: فضربت الباب، فاستجمع القوم ، فقال لهم حمزة: ما لكم؟ قالوا: عمر بن الخطاب، فخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فأخذ بمجامع ثيابي ثم نترني نترة فما تمالكت أن وقعت على ركبتي فقال: ما أنت بمنته يا عمر! فقلت: أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، فكبر أهل الدار تكبيرة سمعها أهل المسجد فقلت: يارسول الله ! ألسنا على الحق إن متنا وإن حيينا ؟ قال: بلى! والذي نفسي بيده إنكم على الحق إن متم وإن حييتم ! قلت: ففيم الاختفاء؟ والذي بعثك بالحق لتخرجن فأخرجناه في صفين: حمزة في أحدهما وأنا في الآخر، له كديد ككديد الطحين حتى دخلنا المسجد، فنظرت إلي قريش وإلى حمزة، فأصابتهم كآبة لم صبهم مثلها، فسماني رسول الله صلى الله عليه وسلم يومئذ (الفاروق) ، وفرق الله بي بين الحق والباطل

Maksud: (Diriwayatkan) Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau bertanya kepada ‘Umar berkenaan gelaran al-Faruq. ‘Umar berkata: “Setelah tiga hari Hamzah memeluk Islam, kemudian Allah pun melapangkan hatiku untuk memeluk agama Islam, lalu aku mengatakan: “Allah, tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Dia, Dia memiliki al-Asma’ al-Husna (nama-nama yang baik), tidak ada di bumi seseorang yang lebih aku cintai melebihi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam”. Aku bertanya: “Di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Saudara perempuanku menjawab: “Dia berada di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam di as-Shofa”. Lalu aku mendatangi rumah tersebut, pada waktu itu Hamzah bin Abdul Muthalib duduk bersama para sahabat Nabi lainnya di lingkungan rumah, manakala Nabi berada di dalam rumah, lalu aku ketuk pintu rumah. Ketika para sahabat Nabi mengetahui kedatanganku mereka pun datang bergerombolan, lalu Hamzah bertanya kepada para sahabat Nabi: “Apa yang terjadi dengan kalian?” mereka menjawab: “Ada Umar bin Khattab”. Kemudian Umar meneruskan ceritanya: “Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang, dan memegang baju ‘Umar dan mendorongnya, maka Umar pun terjatuh di atas kedua lututnya, lalu Nabi bersabda: “Wahai Umar apa yang kamu inginkan?” Lalu aku menjawab: “Saya bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah (dengan benar) melainkan Allah sahaja, tiada sekutu baginya, dan aku mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya”. Mendengar perkara ini, para sahabat Nabi yang berkumpul bertakbir dengan takbir yang didengari orang-orang yang berada di Masjidil Haram. Aku pun berkata kepada Nabi: “Bukankah kita berada di atas kebenaran sama ada kita mati atau hidup?” beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab: “Benar, wahai Umar, demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu di atas kebenaran sama ada kamu mati atau hidup”. Aku menyahut: “Lalu kenapa kita bersembunyi, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran kita akan keluar (secara terang-terangan menampakkan ke-Islaman)”. Lalu kami pun keluar dalam dua barisan, Hamzah pada salah satu barisan dan aku pada barisan lainnya. Sehingga kami memasuki Masjidil Haram (Ka’bah). Maka orang-orang dari suku Quraisy melihat kepadaku dan kepada Hamzah, lalu mereka pun bersedih hati dengan situasi ini dengan kesedihan yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Maka, pada hari tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggelarkan dengan al-Faruq. Dengannya Allah membezakan di antara yang haq dan batil.”

Rujukan riwayat/kisah ini:

- Abu Nu’aim al-Asbahani, di dalam al-Hilyatul Auliya’, 1/20, beliau membawakan sanad riwayat ini sebagai berikut:

حدثنا محمد بن أحمد بن الحسن، حدثنا محمد بن عثمان بن أبي شيبة، حدثنا عبد الحميد بن صالح، حدثنا محمد بن أبان، عن إسحاق بن عبد الله بن أبان بن صالح عن مجاهد، عن بن عباس

- Kisah ini turut dibawa oleh Ali Ibn Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanzul ‘Umal. Dijelaskan bahawa:

وفيه أبان بن صالح ليس بالقوى وعنه إسحاق بن عبد الله الدمشقي متروك

Maksud: Di dalam rangkaian sanadnya terdapat Aban B. Soleh, dia tidak baik hafalannya. Dan meriwayatkan daripadanya Ishaq B. ‘Abdullah ad-Dimasyqi, dia matruk (ditinggalkan hadisnya). Rujuk: Kanzul ‘Umal, 12/551, no. 35742.

Semakan terhadap riwayat/kisah di atas tersebut:

- Ishaq B. ‘Abdullah B. Abi Farwah meriwayatkan daripada Aban B. Soleh. Dijelaskan oleh al-Mizzi, di dalam Tahzibul Kamal, 2/446, no. 367.

- Juga disebutkan tentangnya oleh Ibnu Hibban dalam al-Majruhin, 1/131.

- Berkenaan dengan Ishaq B. ‘Abdullah B. Abu Farwah (yang meriwayatkan dari Aban B. Soleh) ini, para ulama hadis telah menjelaskan bahawa dia:

1 – Imam al-Bukhari berkata, dia ditinggalkan (hadisnya). Imam Ahmad B. Hanbal melarang mengambil hadis darinya dan dia tidak menulis (tidak mengambil) hadis darinya. Yahya B. Ma’in menjelaskan, hadisnya tidak boleh dipakai. Ali B. Al-Hasan al-Hasnajani berkata dari Yahya, bahawa dia pendusta (Kazzab). (Rujuk: Tahzibul Kamal, 2/450-451, no. 367)

2 – Matruk (ditinggalkan hadisnya). Rujuk: Imam an-Nasa’i, adh-Dhu’afa wa al-Matrukin, 1/154, no. 50.

3 – (كان يقلب الاسانيد ويرفع المراسيل، وكان أحمد بن حنبل ينهى عن حديثه) bahawa dia sering memutarbalikkan riwayat (sanad), dari mursal menjadi kepada marfu’. Dan Imam Ahmad, beliau melarang dari mengambil hadisnya. (Rujuk: Ibnu Hibban, al-Majruhin, 1/131)

4 – Kazzab (pendusta), disebutkan oleh Yahya B. Ma’in sebagaimana yang dibawakan oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razi di dalam al-Jarh wa at-Ta’dil, 2/228, no. 792.

5 – Berkenaan riwayat atau kisah di atas, ia disentuh oleh Syaikh al-Muhaddis ‘Ali al-Hasyisy, dengan katanya bahawa riwayat ini adalah palsu. Rujuk: Website Multaqa Ahl Hadits: http://www.ahlalhdeeth.com/vb/archive/index.php/t-21684.html.

Kesimpulan:

Kisah ini adalah tidak sahih, malah palsu (tidak dapat diterima pakai).


[2] Ini antaranya disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) melalui perincian catatannya,

وبات الناس بخير ليلة، وبات قتلة عثمان بشر ليلة، وباتوا يتشاورون وأجمعوا على أن يثيروا الحرب من الغلس، فنهضوا من قبل طلوع الفجر وهم قريب من ألفي رجل فانصرف كل فريق إلى قراباتهم فهجموا عليهم بالسيوف، فثارت كل طائفة إلى قومهم ليمنعوهم، وقام الناس من منامهم إلى السلاح، فقالوا طرقتنا أهل الكوفة ليلا، وبيتونا وغدروا بنا، وظنوا أن هذا عن ملا من أصحاب علي فبلغ الامر عليا فقال: ما للناس ؟ فقالوا، بيتنا أهل البصرة، فثار كل فريق إلى سلاحه ولبسوا اللامة وركبوا الخيول، ولا يشعر أحد منهم بما وقع الامر عليه في نفس الامر

“Pada malam tersebut (sebaik sebelum tercetusnya fitnah perang Jamal) kedua-dua belah pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Tetapi para pembunuh Utsman (orang ketiga selaku pencetus api fitnah) melalui malam tersebut dengan keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Setiap kelompok masing-masing bergabung bersama-sama pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan ‘Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan ‘Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata, “Penduduk Kufah (pasukan ‘Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan Aisyah) pun menyangka (beranggapan) bahawa orang-orang yang menyerang mereka tersebut berasal dari pasukan ‘Ali. Suasana hura-hara tersebut pun sampai ke pengetahuan ‘Ali, lalu beliau bertanya, “Apa yang berlaku kepada orang-orang?” Mereka menjawab, “Penduduk Basrah (pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”

Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan kelengkapan perang, dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang pun yang menyedari apa sebenarnya yang telah berlaku (ketika itu).” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/267 - Maktabah Syamilah)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) turut menyebutkan perkara yang sama,

القتلة فحملوا على عسكر طلحة والزبير فظن طلحة والزبير أن عليا حمل عليهم فحملوا دفعا عن أنفسهم فظن على أنهم حملوا عليه فحمل دفعا عن نفسه فوقعت الفتنة بغير اختيارهم وعائشة رضي الله عنها راكبة لا قاتلت ولا أمرت بالقتال هكذا ذكره غير واحد من أهل المعرفة بالأخبار

“Mereka (para pembunuh ‘Utsman) menyerang khemah Thalhah dan az-Zubair. Lalu Thalhah dan az-Zubair menyangka bahawa ‘Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Seterusnya ‘Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan az-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua belah pihak). Manakala ‘Aisyah radhiyallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahlul-Ma’rifat bi al-Akhbar).” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam asy-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, 4/317, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah al-Qurthubah, 1406H)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga menegaskan,

فإن عائشة لم تقاتل ويم تخرج لقتال وإنما خرجت لقصد الإصلاح بين المسلمين وظنت أن في خروجها مصلحة للمسلمين ثم تبين لها فيما بعد أن ترك الخروج كان أولى فكانت إذا ذكرت خروجها تبكي حتى تبل خمارها

“Sesungguhnya ‘Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah yang paling benar. Maka setelah itu apabila sahaja beliau teringat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” (Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah fi Naqd Kalam asy-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, 4/316, Tahqiq: Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah al-Qurthubah, 1406H)

comment 0 komentar:

Posting Komentar

Mohon maaf komentar anda terpaksa dimoderasi. Komentar anda akan kami munculkan sejauh memuat isi yang bermanfaat, kritik yang membangun, bahasa yang sopan,dan bisa dipertanggungjawabkan.
Jika menggunakan anonymous ID, harap sertakan nickname anda di akhir posting. Terimakasih.

Delete this element to display blogger navbar

 
© 2010 Pustaka Muslim Blog is proudly powered by Blogger